Udo Omar yang memegang watak "Haji Bakhil Bin Lebai Kedekut" dalam filem komedi, Labu Labi. |
Kedekut atau bakhil adalah sikap atau perbuatan yang dilarang oleh Islam, namun persoalan yang penulis mahu perkatakan ini juga secara tersiratnya memaparkan kegagalan seseorang bergelar ‘haji’ dalam menjalani kehidupan selepas menunaikan ibadah haji.
Justeru adalah penting bagi bakal-bakal haji pada tahun ini melakukan persiapan rapi untuk benar-benar menjadi tetamu Allah yang berjaya. Jangan terpesong matlamat atau niat untuk ke tanah suci selain daripada mahu memperoleh haji mabrur.
Niat penting kerana menjadi penentu sama ada ibadah haji seseorang itu berjaya atau tidak.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khathab r.a, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana mahu kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya.”
Sebab itulah seseorang yang mahu menunaikan ibadah haji perlu bertekad melaksanakannya demi Allah dan bukannya kerana mahu memperoleh gelaran ‘haji’ atau mahu membanggakan diri disebabkan sudah mempunyai gelaran tersebut.
Dalam kehidupan sehari-hari, kita dapat menyaksikan bagaimana ramai yang bergelar ‘haji’ tidak memiliki akhlak atau amalan setaraf dengan gelaran berkenaan. Pada diri mereka masih diselaputi sikap yang bertentangan dengan haji mabrur termasuklah tidak memelihara solat dan solat berjemaah, tidak menjaga tutur kata, pandangan dan perbuatan.
Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan dalam masyarakat kita masih wujud yang begitu bangga kerana sudah menunaikan haji sehingga mahukan semua orang memanggil mereka ‘pak haji’ atau ‘tuan haji’ atau ‘haji’. Kalau tidak dipanggil sedemikian bak kata seorang ‘paling muka pun tidak mahu’.
Mungkin contoh ini nampak keterlaluan, tetap inilah realiti yang masih berlaku dalam masyarakat kita sehingga kita terlupa apa sebenarnya matlamat menjadi tetamu Allah.
Dalam memperkatakan soal ini, bakal-bakal haji seharusnya bersyukur kerana Malaysia mempunyai sebuah agensi seperti Tabung Haji yang menguruskan segala-galanya untuk mereka menjadi tetamu Allah.
Bermula daripada menyimpan wang hinggalah menunaikan haji di Mekah segalanya diuruskan oleh agensi itu dengan penuh tertib dan teratur. Ini termasuklah menyediakan pelbagai kursus bagi memastikan bakal-bakal haji negara ini tidak kira berapa pun usia mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Tetapi sama ada seseorang itu akan mendapat haji mabrur atau tidak, bukanlah ‘kuasa’ Tabung Haji tetapi bergantung kepada individu itu sendiri. Tabung Haji hanya membantu membuat persiapan termasuklah dari segi rohani dengan penganjuran aktiviti qiamullail yang dijadikan salah satu aktiviti kursus.
Atas sebab itulah, mana-mana bakal haji perlu menganggap surat tawaran menunaikan haji yang diterima adalah panggilan Allah untuk menjadi tetamu-Nya. Bukan mudah untuk mendapat peluang ini dalam keadaan berjuta lagi umat Islam di negara ini mengharapkan ‘ketibaan’ surat tersebut.
Oleh itu pastikan persiapan yang rapi dilakukan khususnya dari segi rohani kerana itulah penentu utama sama ada seseorang itu akan berjaya mencapai haji mabrur atau tidak. Usah riuh bercerita ‘aku nak pi haji’ sedangkan persediaan untuk menjadi tetamu Allah entah ke mana.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung Allah, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah ampunkan mereka.”
Sebelum berangkat ke Mekah, perbanyakkan amal ibadah termasuklah solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Anggaplah ini perjalanan terakhir kita di muka bumi Allah ini.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 197 bermaksud;
“(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang diketahui. Barang siapa melakukan (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berkata dengan perkataan yang buruk, melakukan maksiat dan bertengkar ketika (melakukan ibadah) haji. Segala yang baik kamu lakukan, Allah mengetahuinya. Bawalah bekalan kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku, wahai orang yang mempunyai akal yang sihat.”
Sama ada mahu diakui atau tidak, ada dalam kalangan bakal haji tidak memahami betapa pentingnya mereka membuat persiapan rapi. Sebab itulah di tanah suci akan ada jemaah yang berperangai tidak wajar sebagai tetamu Allah.
Adalah sesuatu yang merugikan apabila peluang melaksanakan ibadah haji disia-siakan setelah menjejak kaki ke tanah suci.
Ingatlah matlamat kita menunaikan ibadah haji bukanlah kerana mahu mengejar gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’, tetapi ingin mendapatkan keredaan serta keampunan Allah SWT.
Sumber: Utusan