JPKRT Untuk Perkasakan Lagi Peranan KRT Di Kubang Pasu

Dr Leong (dua, kiri) melakukan gimik pemakaian baju korporat kepada Shuib (kanan).
JITRA - Kira-kira 57 pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menerima watikah pelantikan Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (JPKRT) Daerah Kubang Pasu, baru-baru ini.

Pegawai Perpaduan daerah Kubang Pasu, Mohd Zulkarny Salleh berkata, pelantikan berkenaan dilaksanakan bagi memperkasa peranan dimainkan pengerusi KRT.

“Jawatankuasa dilantik akan memberi idea, pandangan dan juga laporan mengenai isu perpaduan di peringkat akar umbi untuk mencapai matlamat jabatan.

“Dengan itu, mereka akan menjalankan tanggungjawab membantu jabatan dalam usaha mengukuh dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKRT daerah Kubang Pasu/Jerlun dan Majlis Jalinan Mesra KRT dan Tadika Perpaduan Daerah Kubang Pasu.

Katanya, majlis seumpama itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara pengerusi dan ahli KRT dengan agensi berkaitan.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong merasmikan majlis berkenaan di Taman Awam Jitra, Jalan Jitra, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kedah, Rohai Zahar Nedi dan Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan KRT daerah Kubang Pasu/Jerlun, Shuib Din.

Sumber: Sinar Harian