Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Kian Kurang


ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di empat daerah di Kedah menurun kepada 192 orang setakat pukul 4 petang berbanding 281 orang pagi semalam.

Sehingga petang ini, tiga pusat pemindahan masih beroperasi manakala 14 yang lain sudah ditutup.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata jumlah itu membabitkan 58 keluarga di daerah Yan dan Pendang.

Bagi daerah Yan, seramai 48 mangsa ditempatkan di Surau Kampung Batu 22 dan Surau Kampung Sungai Lintang seramai 47 mangsa.

Bagaimanapun, menurut Imran, tujuh pusat pemindahan di daerah itu iaitu di Surau Teroi Bukit, Masjid Titi Teras, Surau Nurul Huda Batu 18 1/2, Surau Kampung Lubuk Boi, Surau Kampung Setar, Kampung Sungai Malai dan Dewan Shukor Yan telah ditutup.

Di Pendang, satu pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Cenderawasih yang menempatkan 97 orang daripada 28 keluarga.

Pusat pemindahan lain yang ditutup adalah tiga di daerah Baling iaitu Surau Kampung Seputeh, Surau Kampung Tawar dan Dewan Orang Ramai Macang Bubuk.

Menurutnya, kesemua pusat di daerah Kuala Muda iaitu Dewan Keda dan Surau Kampung Tepi Sungai, Surau Kampung Batu 5, Surau Kampung Sungai Rotan dan Surau Kampung Guar Stesen ditutup tengah hari kelmarin. - Bernama