Kahwin 2 Bukan Satu Dosa, Adi Putra Janji Kongsi Cerita


SETELAH hampir seminggu membisu selepas berita perkahwinan keduanya bersama seorang janda terbongkar, pelakon Adi Putra akhirnya tampil bersuara di laman Instagram.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35, berkata, dia akan mengadakan sidang media dan berjanji akan memberi penjelasan mengenai berita itu.

Dalam pada itu, aktor kacak ini turut menegaskan bahawa apa yang dilakukannya itu bukan satu dosa.

“Kepada semua sahabat rakan media, saya akan maklumkan untuk sidang media untuk perkongsian dan bukan penjelasan sebab apa yang berlaku bukan satu dosa. Terima kasih,” kata Adi dalam Instagram miliknya pada Jumaat.


Selain itu, Adi turut meminta individu yang mendedahkan berita perkahwinannya itu jangan masuk campur urusan rumah tangganya.

Kata Adi, dia juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Berita Adi berkahwin dua terbongkar selepas gambar pernikahannya bersama seorang wanita berusia 33 tahun tersebar di media sosial.


Sementara itu, isteri pertama Adi iaitu Aida memberitahu tidak mengetahui hal itu dan enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Adi pernah memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terhadap Aida pada 11 Mei 2012. Namun hasrat itu dibatalkan.

Pasangan ini dilaporkan berkahwin pada 2016 dan mempunyai seorang angkat perempuan berusia empat tahun. –Kedahnews.com