Kastam Kedah Sita Mercun, Bunga Api Bernilai RM95,846

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Kedah merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam sembilan serbuan berasingan membabitkan rampasan bernilai RM95,846 menerusi Ops Raya yang dijalankan sejak 2 Jun lepas.

Pengarah Kastam Kedah Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan berkenaan melibatkan 8,653 kilogram (kg) pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai RM95,846 dengan jumlah cukai sebanyak RM67,041.

Serbuan itu dilakukan di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam dan beberapa premis di sekitar Alor Setar.

“Kes pertama pada 22 Jun lalu pada pukul 7.30 malam, dua orang lelaki berumur 30-an telah ditahan di laluan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Hasil pemeriksaan pada kereta jenis Volkswagen telah menjumpai 61kg mercun dan bunga api pelbagai jenis di dalam but belakang kereta terbabit yang bernilai RM521.00 dengan jumlah cukai RM307.03. Kedua-dua lelaki terbabit telah ditahan untuk siasatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam negeri di sini.

Beliau berkata pada 24 Jun pula, anggota penguatkuasa telah mengesan sebuah kereta jenis Naza Citra yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan pemandu terbabit telah memecut laju selepas menyedari kehadiran penguatkuasa.

“Namun pemandu telah berjaya melarikan diri di dalam kawasan belukar dan hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api sebanyak 1,640kg di tempat duduk belakang dan but belakang kereta. Nilai anggaran rampasan berjumlah RM18,272 dengan jumlah cukai sebanyak RM21,273.

Kita telah mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit dan telah menahannya pada semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Abdul Latif berkata pada 26 Jun lalu pada pukul 9.45 malam, sepasukan anggota kastam telah membuat serbuan di sebuah premis kediaman di Taman Pelangi, Kuala Kedah yang disyaki dijadikan stor menyimpan barangan belum lulus kastam.

“Hasil pemeriksaan (kami) telah menjumpai 5,373kg mercun dan bunga api bernilai RM65,642 dengan jumlah cukai sebanyak RM36,759. Turut dirampas 450,000 batang rokok yang bernilai RM45,100 dengan jumlah cukai RM243,251.

“Semasa serbuan tiada orang yang berada di dalam premis berkenaan. Kita telah berjaya mengesan seorang lelaki berumur 47 tahun yang merupakan pemilik kepada premis tersebut,” katanya.

Katanya, enam lagi serbuan yang dijalankan di sekitar Alor Setar hanya melibatkan jumlah rampasan yang kecil.

Beliau berkata kastam memandang serius kes penyeludupan itu dan pihaknya akan terus melakukan serbuan serta tangkapan terhadap penjual dan pengedar mercun terutama di bazar Ramadan.

Sehubungan itu, Abdul Latif meminta orang ramai terus melaporkan sebarang maklumat mengenai perkara itu kepada pihak Kastam di talian bebas tol 1-800-88-8855. – BERNAMA