PADA Januari 2015, Ketua Polis Jakarta ketika itu, Jeneral Tito Karnavian mendedahkan, anggota Daesh Indonesia, Bahrun Naim sebagai mendalangi serangan bom terbaharu di Jakarta.
Bekas pemilik Kafe Siber itu mengarahkan serangan di Jalan Thamrin, Jakarta dari Raqqa, Syria sebagai usaha untuk menjadi pemimpin militan rangkaian Daesh di Asia Tenggara.
Serangan 10.30 pagi 14 Januari itu berlaku kerana Bahrun mahu menyaingi Abu Sayyaf yang turut melobi untuk mengetuai Daesh Asia Tenggara.
Ini berlaku berikutan ‘baiah’ atau taat setia serentak Jemaah Islamiah (JI) Indonesia dan militan Abu Sayyaf Filipina dengan Abu Bakar Baghdadi selaku Khalifah Daesh di Iraq dan Syria.
Bahrun disokong dua lagi pengganas JI Indonesia, Bahrumsyah dan Abu Jandal. Bahrun mahu mengetuai Katibah Nusantara dan memimpin IS di Asia Tenggara.
“Di Filipina, Abu Sayyaf juga mahu menyaingi Bahrun,” kata Tito ketika ditemui media di Pejabat Presiden Indonesia, Jakarta.
Bahrun, 37, kelahiran Solo, pernah ditahan pada 2011 kerana memiliki senjata api dan dipenjara tiga tahun. Pada 2014, selepas dibebaskan, Bahrun ke Syria menyertai IS.
Bahrun juga dipercayai turut berpengaruh terhadap 200 pengganas Daesh Malaysia yang berada di Syria dan Iraq.
Katibah Nusantara ialah negara Daesh Asia Tenggara yang merangkumi Indonesia, Borneo, Malaysia, Singapura, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.
Saingan Bahrun menyebabkan Abu Sayyaf di Selatan Filipina turut meningkatkan aktiviti militan melalui penculikan dan pembunuhan tahanan.
Secara persenjataan dan keupayaan mencetuskan serangan strategik, Abu Sayyaf lebih ganas berbanding JI Indonesia.
Namun, Abu Sayyaf tidak mendapat sokongan politik di Filipina kerana kedudukan Moro Islamic Liberation Army (MILF) jauh lebih berpengaruh dengan memiliki lebih 10 ribu anggota bersenjata.
Malah, MILF pimpinan Murad Ibrahim diiktiraf Manila sebagai wakil Bangsamoro dalam Rundingan Damai Autonomi Mindanao.
Jadi, untuk mengukuhkan kedudukan, militan Abu Sayyaf memerlukan sokongan Abu Bakar dan IS di Asia Barat.
Tindakan penculikan yang begitu kerap, malah nekad merentas sempadan perairan Malaysia dan Indonesia, membuktikan Abu Sayyaf benar-benar mahu diiktiraf sebagai Khalifah Kerajaan Katibah Nusantara.
Berbanding JI Indonesia, keupayaan dan pengalaman militan Abu Sayyaf bergerak secara perang gerila dan mendapat puluhan juta ringgit hasil penculikan menyebabkan Bahrun agak terkebelakang walaupun berada bersama pemimpin Daesh Asia Barat.
Kesan persaingan dua kumpulan ini menyebabkan Malaysia menerima kesan jenayah keselamatan yang dahsyat.
Krisis demi krisis penculikan meletakkan kawasan 1400 kilometer pantai Sabah sebagai kawasan sasaran penculikan.
Manakala bahaya tambahan pula, ialah keupayaan Bahrun menggunakan pengaruhnya untuk melancarkan serangan di negara ini.
Video ugutan pengganas Daesh kelahiran Negeri Sembilan, Mohd. Rafi Udin yang tersebar pada 22 Jun lalu, satu bukti perkembangan terkini yang ada kaitan dengan persaingan dua gerakan militan ini.
Berdasarkan rekod, Bukit Aman berjaya membanteras sembilan percubaan Daesh negara ini melancarkan serangan awam membabitkan rampasan 50 kilo bahan letupan.
Ini petanda isu keselamatan awam sudah berada di tahap kritikal sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Menurut Ketua Bahagian Counter Terorism Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Maidin Pitchay: “Buat masa ini polis sentiasa selangkah di hadapan pengganas Daesh. Namun, sekiranya Daesh selangkah ke hadapan, padahnya amat besar!”
Hingga kini, 20 pengganas Daesh Malaysia disahkan terkorban di Syria dengan enam terbabit sebagai pengebom bunuh diri.
Manakala 193 ditahan atas pelbagai kegiatan yang mengancam keselamatan negara. – Kedahnews.com