Kebijaksanaan Dakwah Menteri Luar Arab Saudi Dipuji Netizen

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir
KEBIJAKSANAAN Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir menjawab soalan yang diajukan kepadanya oleh seorang peserta dalam Persidangan Keselamatan Munich di Jerman, baru-baru ini mendapat reaksi hebat daripada netizen .

Jawapannya terhadap soalan berkaitan kumpulan militan Daesh yang merosakkan nama baik Islam itu merupakan satu bentuk dakwah terbaik di peringkat antarabangsa, selain menggunakan platform yang ada pada dirinya untuk memperbetulkan tanggapan salah terhadap Islam.

Soalan wakil persidangan:

Kamu dan (Allahyarham) Raja Abdullah pernah menyatakan tentang bagaimana Daesh tidak bersifat Islamik. Saya memetik perkara ini daripada sebuah artikel The Atlantic dan kamu pasti tahu (artikel itu). Realitinya Islamic State (IS) ialah Islamik, sangat Islamik.

Tidak boleh dinafikan bahawa kumpulan ini telah menarik orang kurang siuman yang majoritinya daripada penduduk yang tidak puas hati di Timur Tengah dan Eropah. Ajaran agama yang dibawa oleh pengikut kumpulan ini adalah daripada tafsiran Islam yang sebenar.

Artikel ini kemudiannya mencadangkan agar kita merangka strategi menentang Daesh, tanpa kita benar-benar faham siapa mereka. Boleh anda memberikan sedikit komen?

ADEL: Semua agama mempunyai orang sesat dan tidak betul, malah cuba menghancurkan (agama). Jika IS dianggap daripada Islam, adakah Ku Klux Klan (KKK) daripada agama Kristian. Adakah mereka (KKK) melakukan perkara kejahatan di atas nama agama Kristian? Apakah mereka (KKK) percaya yang Kristian memaksa mereka untuk membunuh manusia berketurunan Afrika?

Jadi bolehkah KKK dikategorikan sebagai sebuah organisasi di dalam Kristian? Terdapat beberapa buah kumpulan lain yang hampir sama dengan KKK melakukan beberapa pembunuhan beramai-ramai demi memastikan tiada orang bukan Kristian di sebuah negara atau kawasan.

Terdapat juga orang-orang seperti ini dalam fahaman Yahudi. Namun mereka tiada kaitan langsung dengan Judaism. Malah di dalam fahaman Hindu juga terdapat orang-orang seperti ini, namun mereka juga tiada kaitan langsung dengan Hinduism.

Jadi untuk menyatakan Daesh itu bersifat Islamik adalah langsung tidak munasabah. Di dalam ajaran Islam dan al-Quran telah menyatakan bahawa tentang kebebasan beragama. “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. Dan kita bebas untuk mengamalkannya.”

Apakah ada contoh lebih baik untuk membuktikan sikap toleransi yang tinggi ini seperti diamalkan dalam Islam. Dinyatakan di dalam ajaran Islam bahawa, “Sesiapa yang membunuh seorang yang tidak bersalah, diibaratkan seperti membunuh seluruh umat manusia. Dan sesiapa yang menyelamatkan seorang yang tidak bersalah, diibaratkan seperti menyelamatkan seluruh umat manusia.”

Jadi, saya seringkali memperingatkan orang ramai kerana perkara seumpama ini seakan menjadi satu trend pada masa ini untuk mengaitkan sesuatu kekejaman dengan Daesh atau Islam. Itu sama sekali tidak benar.

Agama Islam dan tamadun Islam telah mengekalkan sejarah Greek dan Rom, malah telah memperkenalkannya kepada pihak di sebelah Barat. Tamadun Barat tidak akan wujud tanpa tamadun Islam atau Arab. Lebih menarik, tamadun Islam atau tamadun Islam Arab bertanggungjawab menghubungkan China dan Eropah. Jadi ia sejagat.

Inilah yang saya maksudkan tadi dengan tamadun perantaraan. Jadi, jika Islam tidak bertoleransi dan Daesh melambangkan Islam, adakah Islam akan mengekalkan Aristotle dan Socrates, kemudian memperkenal kepada pihak Barat?.

Dengan itu, saya menggesa anda semua untuk berhati-hati apabila melakukan kenyataan umum terhadap sesuatu yang tiada asas.


Sumber: Utusan