Kedah Cuti Peristiwa Pada 10 Julai Ini - Ahmad Bashah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan 10 Julai ini sebagai cuti peristiwa bagi seluruh negeri Kedah bagi memudahkan sambutan Hari Raya khususnya buat anak Kedah yang pulang beraya di kampung halaman agar berkesempatan meluangkan lebih masa bersama keluarga.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pagi tadi kelihatan ceria bersemangat memulakan kembali tugasnya dan mengumumkan perkara berkenaan sejurus selepas mesyuarat selesai.

"Keputusan mesyuarat Exco tadi kita bersetuju untuk mengumumkan pada 10 (Julai), hari Ahad, kita isytiharkan Kedah sebagai cuti umum,

"Cuti peristiwa seperti kebanyakan negeri lain bagi membolehkan semua rakyat Kedah mempunyai masa secukupnya merancang perjalanan pulang dengan selamat," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Ahmad Bashah berkata, beliau kini lebih bersemangat untuk meneruskan tugasnya demi untuk rakyat dan negeri ini.

"Kesihatan saya amat baik sekarang, doktor benarkan saya kembali bertugas cuma saya dinasihatkan supaya menjaga kesihatan, waktu rehat dan pemakanan.

"Saya sentiasa bersemangat untuk tadbir Kedah dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesihatan saya selepas menjalani pembedahan," katanya.

Menurutnya, semua rakyat Kedah juga dijemput memeriahkan jamuan Hari Raya yang akan diadakan 14 Julai depan, sempena Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah yang akan diadakan di Seri Mentaloon.

Ahmad Bashah kali kedua mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri setelah pertama kali berbuat demikian di Hospital Pulau Pinang selepas pulih daripada pembedahan akibat komplikasi usus baru-baru ini.

Ahmad Bashah kembali memulakan tugas seperti biasa dan dilapor tiba di Blok E, Wisma Darul Aman kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini.

Beliau disambut pegawai agama negeri, Mohd Fadzli Abdul Halim dan Ketua Setiausaha Sulit, Armishah Siraj.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizi Zainol Abidin dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Nahar Tajri.

Mesyuarat Exco diadakan di bilik persidangan di Tingkat 6 bangunan itu kira-kira pukul 10.05 pagi.

Ahmad Bashah dimasukkan ke hospital selepas dikatakan hampir pitam di Hotel Grand Alora, Alor Setar semasa menghadiri mesyuarat dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Kedah pada 4 Jun lalu.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang keesokan harinya dan menjalani pembedahan akibat komplikasi usus. -Kedahnews.com