Kekerapan Kes Tembak Bukan "Out Of Random Shooting" - KPN


PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan kekerapan kes menembak di dalam negara kebelakangan ini sebagai bukan ‘out of random shooting’ sebaliknya mempunyai sebab-sebab tertentu.

“Saya diberitahu setiap kes tembak ada sebabnya. It is not out of random (bukan tembak secara tiba-tiba).

“Ini saya boleh sahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di sini semalam.

Khalid mengulas beberapa kes tembakan maut yang mendapat perhatian ramai, termasuk kes setiausaha PKR Miri (Sarawak) Bill Kayong ditembak dari jarak dekat dalam kejadian di lampu isyarat berdekatan sebuah pusat komersial di Tudan, 21 Jun lepas.

Satu lagi ialah kes tembak seorang ejen hartanah juga dari jarak dekat oleh dua penyerang tidak dikenali semasa mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewahnya di Taman OUG di sini.

Sehubungan itu, Khalid berkata Polis DiRaja Malaysia telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani kes tembak ini agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kekerapan (kes menembak) nampaknya berlaku kebelakangan ini. Saya menambah bilangan task force untuk memastikan orang-orang terlibat ditangkap,” katanya. – BERNAMA