Aishah (kiri) dan Faiz (kanan) menunjukkan keadaan kediaman mereka yang berlubang di merata tempat. Gambar kanan: Zaidi menunjukkan keadaan kediamannya. |
Menurut Mohd Zaidi Sirajuddin Safar, 38, dia cuba membaiki kediaman mereka menggunakan kayu lama, disebabkan tidak mahu terlalu bergantung ihsan orang.
“Bagaimanapun, keadaan kayu berkenaan yang mereput di makan anai-anai, menyukarkan saya untuk menyediakan kediaman selesa untuk anak-anak.
“Disebabkan tidak berkemampuan, beberapa bahagian dinding yang terbuka terpaksa dibiarkan, manakala tandas pula menunggu masa untuk roboh,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, ribut melanda kediaman didudukinya sejak tujuh tahun lalu pada 18 Julai lepas, menerbangkan beberapa bumbung rumah itu.
Bagaimanapun, kata Mohd Zaidi, mereka terpaksa akur berlindung di kediaman itu dengan keadaan bumbung tiada dan terbuka, meskipun perlu tidur dalam keadaan kurang selesa dan ketakutan.
Zaidi berkata, dia dan isteri, Kholilah Kamis, 41, kini turut bimbang alang kediaman yang usang jatuh bila-bila masa menimpa salah seorang anak mereka yang masih kecil.
Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini, menyebabkan dia bimbang keadaan kerosakan kediaman mereka bertambah serius.
Tambahnya, dia yang hanya bekerja kampung memiliki pendapatan tidak menentu sekitar RM400 sebulan untuk menyara keluarganya.
Katanya, pendapatan tidak seberapa sedemikian membuatkan dia tidak mampu menampung kos perbelanjaan mereka, antaranya bekalan elektrik dan pendidikan anak.
“Dua anak saya Siti Aishah, 9, dan Mohd Faiz, 8, masih belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun, manakala dua adiknya baru berusia dua bulan dan lima tahun.
“Disebabkan itu, adakalanya dua anak saya tak ke sekolah, malah kami pernah terputus bekalan elektrik bulan lepas.
“Mujur adik sepupu sering membantu, bolehlah saya beli barang keperluan harian, manakala bekalan elektrik pula disambung semula atas keprihatinan pihak berkenaan,” katanya yang berhasrat mencari kerja lebih baik, namun tidak mampu kerana tidak tahu membaca dan menulis.
Bagi mereka yang berhasrat membantu boleh menyalurkan bantuan melalui talian (017-5279543) ataupun akaun BSN atas nama Zaidi (0213829000010583).
Sumber: Sinar Harian