Ahli Dewan Negara, Senator Shahanim Mohd Yusoff |
SUNGAI PETANI - Pihak Kerajaan wajar memberi fokus terhadap pembangunan sahsiah golongan kaum Adam di negara ini memandangkan mereka merupakan bayangan "khalifah" atau "imam" di muka bumi ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Shahanim Mohd Yusoff berkata, maka kerana itulah beliau mencadangkan supaya diwujudkan sebuah kementerian atau jabatan khas di Malaysia bagi melahirkan golongan lelaki yang lebih bertanggungjawab, beriman dan memiliki ketinggian akhlak yang mulia.
"Dengan wujudnya jabatan atau kementerian ini, maka Malaysia mampu melahirkan golongan lelaki yang lebih bermoral, beretika, beriman, beragama dan mementingkan tanggungjawab terhadap keluarga dan agama.
"Tak salah kalau Malaysia jadi negara pertama yang menjaga kebajikan kaum lelaki dan memberi sokongan kepada kehidupan mereka selain dilengkapi dengan pembangunan sahsiah diri yang lebih berkualiti.
"Tidak kisahlah sama ada nak buat jabatan atau kementerian, tapi asalkan kebajikan, pembangunan dan kualiti golongan lelaki di negara ini terbela dan membangun seiring bersama kemajuan negara," kata Shahanim ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di kediaman beliau di sini, petang semalam.
Menurut beliau lagi, statistik yang menunjukkan perlakuan jenayah di zaman ini turut menyaksikan penglibatan golongan lelaki yang menjadi punca kepada perlakuan seperti rogol, buang bayi, mat rempit, menagih dadah, pecah rumah, keganasan rumah tangga dan sebagainya.
"Akibatnya tu terhadap perempuan, tapi jika dilihat pada puncanya itu, puncanya daripada golongan lelaki.
"Kita nak selesaikan masalah yang di bawah, maka kita perlu cari dan selesaikan perkara yang menjadi punca masalah itu," jelasnya.
Kata Shahanim, jumlah pelajar lelaki juga di institusi pengajian tinggi (IPT) juga amat kurang sekiranya dibandingkan dengan jumlah pelajar perempuan yang jauh mendominasi sama ada di IPT awam mahupun swasta.
Selain itu, dengan mewujudkan kementerian atau jabatan tersebut, maka ia dapat membantu golongan bapa tunggal yang terpaksa hidup tunggang langgang demi membesarkan anak-anak yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dari pihak kerajaan.
"Kita tengok ada ramai bapa tunggal dalam keadaan yang dhaif, terpaksa membesarkan anak-anak sendirian, tapi tiada siapa yang peduli terhadap nasib mereka berbanding ibu-ibu tunggal yang sering mendapat perhatian dari Kementerian Wanita," katanya lagi.
Jelas beliau, keadaan tersebut dikhuatiri seterus akan menyebabkan golongan tersebut tercicir dari mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya dari pihak kerajaan berbanding golongan Hawa.
Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan adalah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajudin Abdullah dan Datuk Norsabrina Mohd Noor, Adun Pantai Merdeka, Ali Yahya, Ketua Puteri UMNO Negeri, Datin Norhashimah Md Nowar serta pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian. -Kedahnews.com