Kerajaan Pandang Serius Saman Sivil DOJ, Beri Kerjasama Penuh

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memandang serius terhadap saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, ia selari dengan urus tadbir baik yang sentiasa diperjuangkan kerajaan.

“Perlu dijelaskan bahawa ini merupakan tindakan sivil dan bukan tindakan jenayah dan ia terhad kepada nama-nama yang telahpun disebutkan dalam laporan DOJ.

“Oleh itu daripada segi kerajaan, kita akan beri kerjasama yang sepenuhnya dengan semua pihak badan siasatan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Kumpulan Felda di sini hari ini.

Najib berkata, pendirian kerajaan selama ini adalah tidak mahu melihat sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan menambah, mereka yang terlibat akan melalui proses kehakiman di mahkamah Amerika Syarikat.

“Maknanya seseorang itu ada peluang bela diri sendiri atau mengikut proses kehakiman di mahkamah. Kita tidak sewajarnya buat apa-apa kesimpulan selagi proses belum selesai,” katanya.

Mengulas mengenai anak tirinya, Riza Aziz yang dikaitkan dengan tindakan undang-undang itu, beliau berkata, “sama seperti orang lain, beliau mempunyai hak beliau dan biarlah proses itu berjalan”.

Ketika ditanya sama ada saman sivil itu akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat, katanya ia adalah isu yang berbeza sama sekali, kerana ini berkaitan dengan individu dan bukannya kedudukan keseluruhan dasar kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Najib turut mengulangi pendirian sama menerusi kenyataan yang disiarkan di media sosial termasuk Facebook rasmi beliau.

“Pendirian kita selama ini jelas iaitu kita tidak mahu melihat apa-apa perbuatan yang boleh melanggar undang-undang.

“Kita pandang serius perkara ini dan tidak ingin ada mana-mana pihak yang menyalah anggap bahawa kerajaan tidak mengurus tadbir dengan baik. Kerajaan mahu prinsip good governance dan urus tadbir yang baik menjadi sesuatu yang akan sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan penuh yang disiarkan di laman www.najibrazak.com/. -Kedahnews.com