Kereta Langgar Van Di Gurun, Lelaki Maut


SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dilapor melanggar bahagian belakang sebuah van yang sedang berhenti di Kilometer 37.7, Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran Bank Rakyat Gurun pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohd Rahemi Azizan, 39, maut di tempat kejadian.

“Kemalangan berlaku apabila van yang dipandu seorang lelaki berhenti untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan telah dilanggar oleh sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat. – BERNAMA