Kerja Gila Cucuk Kulit Ditubuh, Gantung Diri Di Awangan


Di atas bumbung sebuah bangunan kosong di Zagreb, Dino Helvida kelihatan begitu teliti mencucuk badan, kaki dan muka pelanggannya, Kaitlin, sebelum memasukkan cangkuk menembusi kulitnya.

Dia kemudian menggantungkan wanita itu pada rangka besi secara melintang.

Helvida, 27, adalah pakar tindik dan penggantungan badan dari Bosnia Herzegovina, yang sejak enam tahun lalu menggantung badan sesiapa saja yang cukup berani untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekstrem itu.


Proses itu dilakukan dengan teliti dan dalam kes ini, Helvida dibantu teman wanitanya, Zorana.

Ia membabitkan mencucuk kulit menggunakan jarum sebelum pencangkuk logam dimasukkan dan kemudian tali nipis dipasangkan untuk mengangkat peserta.


“Anda boleh meletakkan satu atau 100 pencangkuk. Anda juga mempunyai cangkuk berlainan untuk kedudukan dan bahagian badan yang berbeza.

“Semuanya dirancang dengan teliti dan ianya selamat,” kata Helvida.

Helvida mengambil masa kira-kira sejam untuk mempersiapkan Kaitlin yang datang ke Zagreb dari Amerika Syarikat untuk merasai keseronokan aktiviti itu.

Sepanjang proses itu Kaitlin langsung tidak merungut.


“Memang sakit. Ia seperti menjalani tindikan biasa. Bagaimanapun, lukanya sembuh dengan cepat. Ia boleh sembuh dalam masa dua minggu.

“Saya ada cangkuk di dahi tapi tiada siapa yang tahu,” kata Helvida.

Berapa lama peserta digantung, bergantung kepada kedudukan dan daya ketahanan mereka.

“Ada yang boleh bertahan selama empat hingga lima jam. Ada yang hanya tiga saat,” katanya.


Di Zagreb, aktiviti itu tidak sehebat seperti di tempat lain, termasuk Amerika Syarikat. Katanya, perniagaan utamanya ialah tindikan badan.

“Saya menonton dokumentari mengenai aktiviti ini. Sebaik melihatnya, saya terasa mahu melakukannya.


“Ia sukar untuk dijelaskan. Bagi saya, aktiviti ini mampu membebaskan semua unsur negatif dan membawa aura positif,” kata Helvida. -Agensi