Ketua Pemuda UMNO Kedah Bidas Muhyiddin Yassin

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
ALOR SETAR - Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran supaya lebih berkredibiliti dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dengan fakta dan bukti kukuh yang benar berbanding kenyataan yang berbaur sentimen dan emosi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan demi kenyataan yang tidak berasas dikeluarkan oleh Muhyiddin akan lebih mempamerkan kelemahan beliau sendiri di hadapan rakyat.

"Muhyiddin perlu beri komen berdasarkan fakta dan bukti, bukan berdasarkan kepada sentimen dan emosi. Lagi banyak kenyataan yang beliau keluarkan masih terserlah kelemahan yang beliau ada.

"Nasihat Pemuda UMNO Kedah pada Muhyiddin adalah redha dengan apa yang sedang berlaku, biar proses siasatan berjalan sebelum buat apa-apa kenyataan," tegas beliau membidas kenyataan Muhyiddin yang dikecam ramai pihak sebelum ini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy menyifatkan tindakan pembangkang dan sekutu barunya yang sengaja membangkitkan soal "Malaysia Official 1" sebagai ketandusan isu.

Jelasnya, ia sekaligus memperlihat sikap sebenar pihak berkenaan yang gemar menyegarkan budaya politik kebencian berbanding mencari kebenaran berkenaan saman sivil Department Of Justice (DOJ) Amerika Syarikat yang jelas tidak melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pembangkang dan kumpulan penderhaka UMNO ketandusan isu apabila berterusan memainkan isu "Malaysian Official 1" drpd memberi fokus terhadap fakta saman sivil itu sendiri.

"Pemuda UMNO Kedah melihat tindakan ini bukanlah utk mencari kebenaran tetapi lebih ingin menabur politik kebencian dan terus menghidupkan kelebihan persepsi yang makin kabur bagi pihak mereka," katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi membidas keras kenyataan Muhyiddin yang disifatkan sebagai penuh pembohongan, gagal memahami sistem perundangan Amerika Syarikat dan isu sebenar tentang kenyataan DOJ.

Muhyiddin turut diselar kerana bersikap "double standard" kerana memilih berdiam diri tentang pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dituduh dengan 2 kes rasuah, sebaliknya lebih menghentam Perdana Menteri secara semberono tanpa asas yang benar.

"Dalam kes Lim Guan Eng, terdapat bukti-bukti yang menunjukkan beliau terlibat dalam salah laku. Bukan sahaja siasatan telah dibuat malah Lim Guan Eng juga telah didakwa di mahkamah.

"Tidak pernah pula kita mendengar Muhyiddin bercakap mengenai hal yang lebih nyata seperti ini. Sikap ‘double standard’ dan berdendam Muhyiddin amat jelas dalam hal ini," tulis Puad menyindir pedas Muhyiddin, semalam. -Kedahnews.com