Konsert Selena Gomez: Nik Abduh Bidas Azmin Ali

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Nikmat suara adalah fitnah ciptaan Allah S.W.T untuk menguji hambanya yang mengaku beriman. Janganlah kerana meminati suara yang merdu maka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Itu penegasan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagi membidas sindiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke atas PAS dalam isu konsert Selena Gomez di Selangor.

“Suara merdu wanita adalah nikmat kehidupan ciptaan Allah S.W.T. Tiada seorang ayah atau suami yang mahukan anak perempuannya atau isterinya bersuara seperti burung kakak tua.

“Kalau ada, dia sebenarnya adalah kakak tua jantan,” sindir beliau pula dalam satu kenyataan media semalam.

PAS Pusat sebelum ini mengemukakan bantahan ke atas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung penganjuran konsert Selena Gomez tetapi bantahan itu dipersendakan oleh Menteri Besarnya.

Malah, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyindir PAS di hadapan pihak media dengan berkata:

“Seksi adalah ciptaan Tuhan, ada orang seksi, ada yang tidak seksi, ada orang cantik, ada yang tidak cantik. Kenapa kita perlu kisah dengan keseksiannya dan bukan lirik atau lagunya?”

Jawapan itu menyebabkan para wartawan terutama wakil media propembangkang tertawa besar. – Kedahnews.com