KPN Nafi Keluar Amaran Serangan Daesh Di KL


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan bahawa ia pernah mengeluarkan amaran kepada orang awam supaya mengelakkan beberapa lokasi tumpuan orang ramai di ibu negara.

Lokasi-lokasi tersebut didakwa bakal menjadi sasaran serangan bom oleh anggota kumpulan militan Daesh.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter rasmi beliau pada 8 Julai.

“This alert is not from @PDRMsia (Amaran ini bukan daripada @PDRMsia),” kata beliau dalam kicauan melalui Twitternya.

Beliau turut memuat naik ‘screenshot’ amaran berkenaan yang dikesan mula tersebar luas sehingga menjadi viral di media sosial sejak kelmarin.

Mesej dalam bahasa Inggeris itu meminta rakyat Malaysia menjauhi beberapa lokasi iaitu Publika, Bangsar, The Curve, Mid Valley, KLCC, Menara Kuala Lumpur, Hartamas, Bukit Bintang dan stesen-stesen LRT.

Dalam mesej itu juga tertera ayat: “Kerajaan Malaysia mengesahkan sama ada satu atau mana-mana daripada tempat ini akan diserang oleh Daesh. Sila kongsi dan anda mungkin menyelamatkan nyawa.

“Kawan-kawan sila jauhi KLCC – Pavilion – kawasan Beach Club – Jalan Alor dan Jalan Petaling. Kita adalah sasaran berikutnya pengeboman menurut polis cawangan khas.” – Bernama