Krisis Bekalan Air: Mesyuarat Khas Selasa Ini - MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi menangani krisis bekalan air di Kedah pada pagi Selasa ini.

Ahmad Bashah dalam kenyataan beliau menerusi laman sosial Facebook menjelaskan bahawa mesyuarat itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Blok E, Wisma Darul Aman di sini, pada 12 Julai.

"Mesyuarat berkenaan akan diadakan khas bagi membincangkan tindakan segera jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan kawasan," kata Ahmad Bashah yang dipetik dari laman sosial rasmi beliau.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan bahawa kerajaan negeri akur dan menyedari isu air adalah antara beberapa isu penting yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat terutama pada musim perayaan ini.

Beliau turut memandang serius tentang masalah yang di hadapi rakyat Kedah berkenaan dan menyedari rungutan dari rakyat memandangkan beliau sendiri membidas Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan awal beliau sebelum Aidilfitri menjelang, baru-baru ini.

Menyatakan bahawa beliau merupakan sebahagian dari rakyat Kedah yang lain, Ahmad Bashah menggesa supaya tindakan drastik yang lebih profaktif diambil oleh SADA mencakupi keperluan seluruh negeri. -Kedahnews.com