Mahmad Rusli (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. |
ALOR SETAR – Kelab Kami Sayang Nusa Bangsa (KSNB) Kedah mendesak Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kebiadaban beliau memuat naik gambar serta karikatur yang seolah menghina umat Islam ketika menyambut Aidilfitri.
Pengerusinya, Mahmad Rusli Abdul Halim berkata, tindakan Pengerusi DAP Perak itu jelas tidak bertanggungjawab dan tidak hormati budaya serta agama lain yang diamalkan masyarakat di negara ini.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serta rasa terhina berhubung dua tindakan dibuat oleh Ahli Parlimen Taiping yang tidak sensitif, provokasi melampau dan menghina umat Islam khususnya Melayu di Malaysia.
“Beliau telah memuat naik di laman sosial yang secara terbuka dan terang mempersedakan amalan pemberian duit raya oleh masyarakat Islam di Malaysia dengan menyamakan pemberian ‘dedak’ rasuah,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, kelmarin.
Menurutnya, Kor Ming juga didakwa cuba mempersendakan ucapan selamat hari raya untuk rakyat Malaysia dengan berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat serta berimejkan tangan yang berdoa seperti penganut agama Kristian.
“Sehubungan itu, kami merasakan tindakan beliau adalah amat tidak bertanggungjawab serta cuba membuat provokasi kaum, agama dan bertentangan dengan tatasusila kehidupan berbilang bangsa dan agama.
“Ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan sindiran yang cukup kurang ajar menghina agama Islam dan mengguris hati umat Islam. Dengan ini, kami mendesak Kor Ming membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dan Melayu terhadap kebiadaban serta keceluparan beliau,” katanya.
Tegasnya, sekiranya wakil rakyat pembangkang itu enggan memohon maaf atas tindakan tersebut, maka pihak polis perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap Kor Ming kerana sengaja mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Sumber: Sinar Harian