KUALA NERANG- Ketiadaan bekalan air sejak akhir-akhir ini di Kampung Bukit Nambua, di sini menyebabkan penduduk di kawasan itu mulai resah menyebabkan aktiviti harian mereka turut terjejas.
Penduduk, Md Nor Hamid, 57, berkata, masalah itu bermula sejak seminggu lalu sehinggalah sekarang menyebabkan penduduk mulai bimbang dengan kepulangan saudara mereka yang akan pulang berhari raya nanti.
Menurutnya, sebelum ini kawasan itu hanya tidak menerima bekalan air pada waktu siang sahaja tetapi dapat menikmatinya pada waktu malam dari 9 malam hingga 5 pagi.
Bagaimanapun sejak seminggu ini, penduduk di situ mulai kecewa kerana bekalan air terus terputus.
“Masalah itu menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas hingga ada yang terpaksa membeli air mineral di kedai. Ada juga penduduk terpaksa angkut air dari rumah saudara mereka .
“Saya telah berusaha pelbagai cara dengan membeli enjin untuk meningkatkan tekanan air tetapi masih tidak ada sebarang perubahan. Kini dengan ketiadaan air langsung menyebabkan kami sekeluarga merasa buntu,” katanya.
Menurut Md Nor, masalah itu pernah diadukan kepada Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd (Sada) dan mengesyorkan supaya air di kawasan itu dicatukan. Ini membolehkan penduduk di semua kampung di itu dapat menerima bekalan air walaupun beberapa jam berbanding sekarang langsung tidak menerimanya.
“Walaupun pihak berkenaan mengambil perhatian cadangan itu tetapi sehingga sekarang masalah itu masih berlarutan dan penduduk kampung terpaksa menanggung masalah itu sehingga hari ini," katanya.
Suri rumah, Harison Ismail, 62, pula berkata, kegagalan pihak berkenaan membekalkan air kepada penduduk di situ menyebabkan mereka terpaksa mencari pelbagai sumber air lain bagi mengatasi masalah itu.
Katanya, sejak masalah bekalan air berlaku di kampung itu, dia terpaksa menggunakan air dari telaga jirannya untuk kegunaan harian.
“Saya terpaksa mencedok air dari dalam telaga sedalam 10 meter sejak beberapa hari hingga menyebabkan seluruh badan saya mulai sakit akibat membawa air dengan baldi pulang ke rumah. Kami juga terpaksa hantar pakaian ke kedai dobi.
“Kini nasib baiklah anak-anak sudah ada yang pulang dan membantu untuk mengangkut air. Bagaimanapun masalah air itu menyebabkan anak menantu saya terpaksa mandi di tandas awam di Kuala Nerang dengan membayarnya RM1 setiap orang.
“Oleh itu saya berharap Sada dapat menyelesaikan masalah air secepat mungkin supaya masalah ini tidak menjejaskan aktiviti penduduk kampung bagi menyambut hari raya kali ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, pihaknya akan meningkatkan tekanan air di kawasan itu supaya penduduk dapat bekalan air.
"Kami juga akan menambahkan lagi lori tangki air semasa musim perayaan nanti," katanya.
Sumber: Sinar Harian