Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selamat

Laluan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Seksyen 44
SIMPANG PULAI – Laluan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Seksyen 44 selamat digunakan untuk semua jenis kenderaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menguatkan cerun di kawasan berkenaan, malah pembinaan jalan sepanjang 430 kilometer juga menggunakan sistem ‘piled embankments structure’.

Katanya sistem ‘piled embankments’ tersebut berbentuk seperti jambatan dan ia mampu memastikan struktur jalan kekal stabil serta boleh mengelakkan hakisan daripada terus merebak.

“Apa yang diviralkan kita tak pasti gambar itu terbaharu atau tidak, jika dilihat dari udara memang nampak begitu merisaukan dan membimbangkan, namun jika kita turun ke bawah ia teruk.

“Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa jaminan keselamatan tersebut juga bergantung kepada faktor cuaca dan keadaan semasa di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan bersama pihak JKR dan Bomba dan Penyelamat.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata pihak JKR sentiasa memantau laluan berkenaan dan telah mencuba beberapa cara untuk menghentikan hakisan daripada terus berlaku.

“JKR bukan tak ambil tindakan, kita dah pernah tanam rumput yang mampu memegang tanah ini, dan tambak runtuhan itu namun apabila hujan berlaku semula hakisan,” katanya.

Beliau berkata kos pembinaan jalan tersebut yang dianggar menelan hampir RM10 juta mula dibuka kepada laluan sejak enam bulan lalu.

“Untuk akan datang kita cuba dapatkan lagi bajet kalau ikut jangkaan JKR kita perlukan RM70 juta menstabilkan lagi laluan ini,” katanya.

Sejak semalam, gambar hakisan cerun itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp berserta pesanan meminta orang ramai berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan disebabkan hakisan yang semakin teruk. – BERNAMA