Lara Alana Masih Belum Sedia Dapat Adik – Awal Ashaari


Pasangan pengacara terkenal, Awal Ashaari mengakui dia dan isteri, Scha Alyahya masih belum mempunyai perancangan untuk menambah cahaya mata kerana bagi mereka, Lara Alana masih belum bersedia untuk menerima adik buat masa ini.

“Buat masa ini belum ada perancangan menambah cahaya mata kerana Lara belum bersedia untuk ada adik. Dia masih memerlukan kasih sayang dari saya dan Scha.

“Lara seorang yang sensitif dan cepat merajuk. Jika dia ada adik dalam masa terdekat, kasih sayang kami akan terbahagi,” katanya kepada mStar.

Tambahnya, dia berasakan masih kurang memberi kasih sayang yang sepatutnya diberikan kepada anaknya itu.

“Saya rasa masa bersama dengan dia sangat singkat dan banyak perkara yang saya terlepas sehingga kadang-kadang saya cemburu melihat dia belajar sesuatu perkara baru dengan orang lain.

“Sepatutnya pada usia Lara yang masih kecil, kami perlu sentiasa berada di sisinya, sebab itu saya kata bagi masa dia besar sikit untuk ada adik lain,” jelasnya. – Kedahnews.com