Ketua Biro Undang-Undang PKR, Latheefa Koya |
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong berkata, PKR terpaksa mengambil masa yang panjang untuk bersetuju dengan rancangan DAP tetapi mampu membuat keputusan yang sangat cepat sewaktu mahu melaksanakan `Langkah Kajang’.
“DAP telah menyokong penuh PKR dalam beberapa percaturan politik seperti dalam krisis jawatan Menteri Besar Selangor dan juga `Langkah Kajang’.
“Daripada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, DAP tidak pernah membelakangi pemimpin PKR seperti satu lagi kawan karib PKR (PAS) yang gemar menikam dari belakang.
“Walaupun PKR mengambil masa yang panjang dalam menentukan kewajaran PRN Pulau Pinang berbeza dengan keputusan tangkas `Langkah Kajang’,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata demikian bagi memgulas kenyataan Ketua Biro Undang-Undang PKR, Latheefa Koya yang menyindir DAP dengan berkata:
“Siapa yang mengumumkan pilihan raya `kilat’ secara sebelah pihak, siapa yang mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat secara sebelah pihak dan siapa yang mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan kepada media sebelum keputusan dimuktamadkan?”
Menjawab sindiran itu, Yoke Kong menegaskan, PAS yang membatalkan kerjasama politik dengan DAP dalam Muktamar Dewan Ulama PAS pada 6 Jun 2015 terlebih dahulu.
Beliau turut mengingatkan bahawa perasmian Pakatan Harapan pada 9 Januari 2016 dilakukan oleh Wan Azizah iaitu Presiden PKR dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
“Adakah Latheefa tidak memahami logik mudah sebegini?” soal beliau.
Justeru, katanya, kenyataan Latheefa isu sebenarnya satu justifikasi PKR takut untuk menghadapi PRN Pulau Pinang dengan membuat alasan kononnya rancangan DAP untuk mengadakan PRN selalu berubah dan tidak konsisten.
“Berbeza dengan Keadilan yang selalu berubah dalam isu Menteri Besar Selangor, DAP tidak pernah berubah dan memang bertekad untuk menggabungkan semua isu yang sedia ada untuk menghadapi PRN Pulau Pinang.
“Tidak ada konflik bagi parti untuk memperoleh mandat rakyat seperti mana PKR cuba untuk mendapatkan mandat rakyat Permatang Pauh demi memanifestasikan sokongan rakyat kepada Presidennya,” sindir beliau pula. – Kedahnews.com