Lawat Pejabat SPRM Seluruh Negara Sebelum Bersara

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed
ALOR SETAR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan melakukan lawatan ke semua pejabat SPRM di seluruh negara sebelum tarikh tamat perkhidmatannya pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata lawatannya itu untuk bertemu dengan anggota dan pegawai SPRM bagi mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membantunya dalam melancarkan pelbagai urusan oleh agensi itu.

Katanya beliau berharap anggota dan pegawai SPRM terus menjalankan tugas dengam baik serta mengambil tindakan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.

“Hari ini saya telah melawat (SPRM) dua negeri iaitu Perlis dan Kedah serta baki negeri lain akan saya lawat sebelum tarikh persaraan saya,” katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM Kedah, di sini semalam.

Katanya beliau berkata akan meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut selepas dilantik sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria.

Beliau juga akan menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam bidang tersebut sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebelum ini, Ketua‎ Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengesahkan Abu Kassim akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini.

Abu Kassim, 56, memohon untuk tidak meneruskan khid­mat sebagai ketua pesuruhjaya walaupun kontrak beliau se­patutnya tamat pada 2018 dan persaraan wajib dalam perkhidmatan awam adalah pada tahun 2020.

Penamatan kontraknya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis. – BERNAMA