Lebih 5,000 Sayu Iringi Jenazah Tok Guru Hj Salleh Musa


SIK - Kira-kira 5,000 orang menghadiri pengkebumian Tokoh Ulama Kedah, Salleh Musa atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Salleh di sini tengah hari semalam.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira 1.30 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Rahman di sini.   

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 8.15 malam tadi selepas dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira pukul 7.30 malam menggunakan ambulans dari rumahnya selepas mengadu tidak sihat.


Allahyarham Salleh, yang mendalami bidang agama sejak kecil, berpeluang menuntut ilmu bersama ulama terkemuka di Makkah, antaranya Syeikh Ismail Fatani, Syeikh Yassin Al Fadani, Syeikh Abd Qadir Mandili, Syeikh Syed Alawi Al Malikki dan Syeikh Syed Amin Qutubi.

Selepas pulang ke tanah air sekitar tahun 1964, beliau membantu bapanya, Allahyarham Tuan Guru Musa Salleh, mengajar di pondok Pekan Sik dan mengambil tanggungjawab menguruskan pondok selepas Tuan Guru Musa meninggal dunia. - Bernama