Lebih Ramai Suspek Militan IS Ditahan - KPN

KUALA LUMPUR - Beberapa lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS ditahan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid mengesahkan penahanan itu kepada The Star pada majlis rumah terbuka Hari Raya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Khamis.

Beliau berkata, operasi memburu dua suspek serangan bom tangan di Puchong diteruskan.

"Mereka bersembunyi tetapi kita yakin kita boleh mengesan mereka," kata Khalid.

Operasi memburu dilakukan di seluruh negara terhadap Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 38, yang didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di kelab malam di Puchong.

Beliau berkata, polis turut memantau rapi di laman web media sosial dan mengerah lebih ramai anggota ke kawasan sensitif, dan mengingatkan media untuk tidak menghebahkan aktiviti militan atau ancaman baharu mereka.

"Jangan kita memberikan mereka ruang dan peluang untuk menonjolkan diri mereka," kata Khalid.

Sumber: mStar