Lebuh Raya Utama Dijangka Sesak Petang Ini

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar pada pukul 8 pagi ini, namun dijangka meningkat pada petang nanti.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 masih lagi terkawal.

“Aliran trafik dijangka bertambah pada petang ini berikutan peningkatan jumlah warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa kawasan di LPT dijangka mengalami kesesakan dengan trafik bergerak perlahan petang ini di lebuh raya itu.

“Trafik dijangka akan bergerak perlahan dari Slim River menuju ke Sungkai, Plaza Tol Gombak ke pantai timur dan dari Tol Duta menghala ke utara,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd berkata aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan masih lancar pagi ini dan dijangka akan bertambah secara beransur-ansur.

“Terdapat satu kemalangan berlaku di Kilometer 19.3 dari Kota Damansara menuju ke Damansara pada 8 pagi tadi menyebabkan trafik perlahan dan kerja mengalihkan kenderaan telah dilakukan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA