Lelaki 55 Tahun Maut Ditikam Anak Kekasih


GOMBAK – Seorang lelaki berusia 55 tahun ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di badan dipercayai dibunuh anak kekasihnya di kawasan perumahan Pinggiran Templer, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan mendapati mangsa hanya tinggal berdua bersama anak kekasihnya itu yang turut mempunyai rekod sakit mental.

“Berpandukan maklumat forensik dan risikan, tiga suspek termasuk anak kekasih mangsa berjaya ditahan beberapa jam kemudian di sekitar daerah Gombak,” katanya ketika dihubungi pagi semalam.

Katanya, semua suspek berusia 28 hingga 43 tahun kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: myMetro