Letupan Di Puchong Mungkin Ada Kaitan DAESH – KPN


KUALA LUMPUR – Letupan yang berlaku di sebuah kelab malam, Movida di Puchong, Selangor pada 28 Jun lalu kemungkinan besar ada kaitan dengan kumpulan militan Daesh.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada satu majlis di sini hari ini sambil mengesahkan 15 individu telah ditahan susulan serangan tersebut.

Ini termasuk dua pegawai polis, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas Daesh, kata beliau, selain menambah bahawa ramai lagi suspek mungkin akan ditahan.

“Kami mendapati dua daripada mereka ada menerima arahan daripada rakyat kita di Syria, Muhamad Wanndy Muhamad Jedi,” katanya yang dipetik oleh pelbagai media tempatan.

Suspek ujar Khalid dipercayai memberi arahan agar serangan dilancarkan terhadap pemimpin kanan kerajaan, pegawai polis dan hakim kerana menjejaskan aktiviti mereka selama ini.

Kesemua mereka itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Serangan lewat tengah malam itu menyaksikan lapan mangsa kebanyakan adalah pelanggan kelab yang datang menyaksikan siaran langsung perlawanan Euro 2016 mengalami kecederaan.

Menurut laporan awal sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar menyatakan bahawa letupan tersebut bukan akibat perbuatan pengganas.

Bagaimanapun siasatan lanjut akan menentukan sama ada puncanya adalah permusuhan dalam perniagaan, balas dendam atau seseorang individu yang disasarkan. – Agensi