MAB Umum Beli 50 Pesawat Boeing 737 MAX Bernilai AS$5.5b


PUTRAJAYA – Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Boeing mengumumkan pemeteraiam janji niaga bagi pembelian 50 buah pesawat 737 MAX dengan 25 tempahan pasti dan 25 hak pembelian.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew dalam satu kenyataan berkata, serahan akan bermula pada 2019 dan nilai keseluruhan pembelian tersebut dianggarkan bernilai AS$5.5 bilion (kira-kira RM22.4 bilion).

“Janji niaga itu adalah pembawa perubahan bagi MAB dengan kos lebih murah dan kecekapan yang lebih tinggi, yang akan disalurkan kepada pelanggan setianya menerusi tambang lebih rendah,” tambah beliau lagi.

Bellew berkata menerusi keupayaan jarak jauh 737 MAX, syarikat penerbangan kebangsaan itu dijangka dapat menghubungkan ramai penumpangnya kepada lebih banyak destinasi dengan pesawat yang lebih selesa.

Ini merupakan keputusan paling besar yang pertama diumumkan oleh beliau sejak mengambil alih jawatan ‘kerusi panas’ syarikat udara nasional tersebut daripada Christoph Mueller sejak 1 Julai lalu.

MAB kini memiliki hampir setiap kumpulan model pesawat 737 dan menerima serahan pesawat 737 yang keseratusnya pada Disember 2014 lalu. Ketika ini ia beroperasi dengan 56 pesawat 737-800.

Syarikat itu dijangka mencatatkan laba bersih pada 2018 selepas menanggung banyak kerugian sehingga terpaksa diambil alih sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad sejak 1 September 2015.

Ditubuhkan pada 1937, secara teknikal MAB sudah pun merekodkan keuntungan sebanyak RM14 juta pada suku pertama tahun ini setelah memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM51 juta dalam tempoh itu.

Ia pada masa ini mempunyai 76 buah pesawat iaitu masing-masing 54 jenis Boeing dan 22 lagi jenis Airbus berusia kurang daripada empat tahun selepas melupuskan kesemua model saiz gergasi Boeing 777.

Menerusi perolehan pesawat baharu itu, MAB bakal menawarkan lebih banyak destinasi sekali gus menyaingi AirAsia yang memiliki kira-kira 475 buah pesawat kesemuanya jenis Airbus. – Agensi