Masalah Air: 6 Langkah Strategik Untuk Rakyat Kedah - MB

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Meskipun melibatkan hanya lebih kurang 7.5 peratus jumlah pengguna yang terjejas bekalan air bersih pada Aidilfitri yang lalu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memandang serius masalah tersebut dengan menetapkan enam langkah bagi mengatasinya secara drastik.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan bahawa enam langkah berkenaan perlu dilaksanakan seberapa segera bagi menangani masalah bekalan air secara holistik dan berkesan demi kesejahteraan rakyat di negeri Jelapang Padi itu.

"Ini perancangan jangka pendek hasil perbincangan mesyuarat selama tiga jam antara kerajaan negeri, pihak pembangkang, Sada dan agensi-agensi lain. Masalah ini bukan baharu tetapi sudah berlarutan berikutan fenomena El-Nino.

"Pada hari ini kita bersetuju dengan langkah diambil untuk menangani isu ini dengan segera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan isu air di Wisma Darul Aman di sini, tengahari tadi.

Enam langkah jangka pendek yang diputuskan adalah dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak, menambah telaga tiub dan membekalkan tong statik kepada pengguna kurang berkemampuan.

Selain itu, tiga lagi langkah adalah mempertingkatkan sistem penghantaran air bersih dan sistem aduan Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan penambahbaikan penggunaan 'air masyarakat' (sumber air bukit).

Ahmad Bashah berkata jawatankuasa bertindak itu bakal melibatkan pegawai-pegawai daerah, SADA serta agensi-agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, serta bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains untuk membantu mewujudkan telaga tiub di kawasan-kawasan strategik yang terlibat dengan masalah bekalan air.

Kata Menteri Besar itu, hingga kini terdapat lapan telaga tiub di seluruh Kedah dengan setiap telaga itu dapat membekalkan air kepada kira-kira 1,000 pengguna atau anggaran 300 buah keluarga.

Beliau menjelaskan bahawa  kerajaan negeri juga akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti air bersih.

"Sada perlu menambah jumlah kontraktor bagi memudahkan penghantaran bekalan air di kawasan yang sering terjejas berikutan tekanan air rendah.

"Selain itu, kita akan pastikan Sada mempertingkatkan sistem aduan mereka bagi membolehkan orang ramai membuat aduan supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.

Ahmad Bashah memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga akan membekalkan tong statik berkapasiti 100 gelen air kepada keluarga kurang berkemampuan, namun penerima akan ditentukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan masing-masing.

"Bagi peringkat awal, kita akan membekalkan tong statik kepada keluarga yang betul-betul memerlukan dan Adun akan menentukan penerima kerana mereka lebih mengetahui keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.

Namun saya minta supaya penduduk dapat menggunakan air dengan sebaik mungkin tanpa melakukan pembaziran," katanya lagi.

Ahmad Bashah berkata KKLW telah memperuntukkan sebanyak RM37 juta kepada Kedah bagi projek air luar bandar untuk tempoh jangka panjang di mana peruntukan itu dapat membantu mempertingkatkan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat negeri ini.

"Kita akan pastikan semua perancangan jangka pendek dapat dijalankan dengan lancar dan baik sehingga perancangan jangka panjang dapat dibuat kerana kita ingin pastikan rakyat Kedah tidak lagi dibelenggu dengan masalah air," ujar beliau. - Kedahnews.com