Masalah Air: Kedah Mungkin Guna Teknologi "Portable" Agih Air

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din (kiri)
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah berura-ura untuk menggunakan teknologi mesin air mudah alih (portable) sebagai langkah mengatasi masalah bekalan air di beberapa kawasan yang dikenal pasti menghadapi masalah air yang kritikal.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, kini penggunaan teknologi mengagihkan air secara mudah alih itu sedang dikaji secara teliti bagi memastikan ia berkesan untuk menangani masalah air ekoran ia membabitkan kos yang tinggi.

"Ada syarikat yang buat pembentangan untuk kita guna teknologi secara mudah alih dengan mesin itu boleh bergerak pergi ke kawasan yang ada air untuk sedut dan proses.

"Selepas itu air yang sudah diproses dimasukkan pula ke dalam sistem yang disediakan pihak SADA (Syarikat Air Darul Aman).

"Kita harap dengan adanya kaedah seperti ini boleh maksimumkan bekalan air terhadap penduduk yang terjejas akibat masalah berkenaan," katanya pada sidang media, sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah, di Wisma Darul Aman di sini, sebentar tadi.

Bakar dalam penjelasan lanjut menegaskan bahawa Kedah tidak berdepan dengan masalah sumber bekalan air, namun menjurus kepada faktor agihan bekalan air yang menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 8,000 pengguna di beberapa kawasan di negeri Kedah.

Melalui penggunaan teknologi mesin air mudah alih berkenaan, beliau tidak menolak bahawa kaedah itu mampu menyalurkan bekalan air bersih kepada kawasan-kawasan terjejas dengan lebih efisien lagi.

Turut hadir di mesyuarat berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi terlibat. -Kedahnews.com