Masalah Air: Kerajaan Negeri Kenal Pasti Kawasan Kritikal


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang menghadapi masalah bekalan air yang kritikal, terutama yang teruk terjejas tidak mendapat kemudahan itu pada Aidilfitri baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, Kedah tidak berdepan dengan masalah sumber bekalan air, namun lebih menjurus kepada keberkesanan agihan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar negeri itu.

"Masalah di Kedah, kita tidak hadapi masalah sumber air sangat, tapi masalah agihan.. dan ada juga masalah-masalah yang berlaku kerana sumber sudah habis, contohnya di Tupah.

"Kita sudah kenal pasti kawasan-kawasan yang kritikal, pihak SADA (Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd) telah menyediakan maklumat kawasan-kawasan yang kritikal dan kita cuba nak atasi masalah bekalan air di kawasan-kawasan ini lebih dahulu," katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara kawasan yang dikenal pasti terjejas adalah di daerah Baling, Padang Terap, Sik, Pokok Sena, Merbok dan beberapa kawasan di Kubang Pasu.

Kawasan yang dianggap kritikal itu adalah melibatkan pengguna perkhidmatan SADA yang tidak menerima bekalan air di pili air rumah, mengalami tekanan air rendah, terletak di kawasan tanah tinggi, kawasan yang jauh dari sumber bekalan air dan sebagainya.

Jelasnya lagi, kawasan-kawasan yang dikenal pasti kritikal itu akan diberikan fokus oleh pihak SADA dalam usaha memastikan pengguna mendapat bekalan air yang mencukupi.

"Kawasan-kawasan kritikal ini, kita tiada pilihan kita kena hantar air," tegasnya.

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah, di Wisma Darul Aman.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi terlibat.

Jawatankuasa khas tersebut tertubuh atas inisiatif Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sebuah mesyuarat khas pada 12 Julai lalu dalam bagi menyelesaikan rintihan rakyat yang sudah sekian lama menghadapi masalah bekalan air.

Masalah air di Kedah meruncing pada Aidilfitri lalu dan keluhan mula kedengaran ekoran masalah tersebut masih gagal diselesaikan biarpun sudah bertahun-tahun menghantui sebilangan rakyat di negeri berkenaan. -Kedahnews.com