Masih "Subur", Mick Jagger Jadi Bapa Lagi Pada Usia 72 Tahun


MESKIPUN sudah menjangkau usia 72 tahun, vokalis kumpulan rock legenda, The Rolling Stones sekali lagi bakal bergelar bapa.

Menurut sebuah portal hiburan antarabangsa, Mick Jagger akan menimang cahaya mata kelapan menerusi perkongsian hidup dengan kekasihnya yang juga seorang penari balet iaitu Melanie Hamrick, 29.

Sumber terdekat Jagger mengesahkan berita tersebut melalui sebuah saluran berita pada Khamis lalu.

“Ini merupakan berita baik, cahaya mata ini merupakan anak kelapan Mick dan ianya sedikit pun tidak mengganggunya malah Mick sangat bertanggung jawab,” kata sumber itu kepada portal The Sun.


Jagger sebelum ini dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu empat perempuan: Karis, Jade, Elizabeth dan Georgia; serta tiga lagi lelaki iaitu James, Gabriel dan Lucas hasil hubungan dengan empat wanita berbeza.

Penyanyi yang popular dengan lagu Just Another Night ini turut mempunyai lima orang cucu dan seorang cicit.

Sebelum ini, rakan baik Jagger iaitu Ronnie Wood turut bergelar bapa pada usia 69 tahun hasil perkongsian dengan Sally Wood dikurniakan sepasang bayi kembar perempuan. -Kedahnews.com