Mayat Warga Thai Ditemui Terapung Dekat Muara Kuala Kedah


ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki warga Thailand ditemukan terapung di dalam laut kira-kira 1 batu nautika dari muara Kuala Kedah kira-kira 8.47 pagi semalam.

Mangsa dikenali Mr Chaloemchai Khoikam, 24, berasal dari Suratani, Thailand ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata mayat mangsa lengkap berpakaian dan turut menemukan dokumen milik mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Jabatan Perikanan Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin dalam kenyataan berkata tiada unsur jenayah pada mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA