MB Kedah Tidak Nafi Hadir Rawatan Susulan, Jadual Ditetapkan Doktor

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak menafikan bahawa beliau perlu bertemu dengan doktor pakar selepas menjalani pembedahan komplikasi usus baru-baru ini.

Namun jelas Menteri Besar Kedah itu, pertemuan tersebut hanyalah merupakan rutin rawatan susulan selepas pembedahan dan ia dilakukan secara berkala sama seperti individu lain yang menjalani rawatan sebagaimana beliau.

"Memanglah... Bila sudah jalani pembedahan, memang doktor minta saya hadir untuk buat rawatan dan pemeriksaan susulan.

"Tapi jika doktor panggil pada tempoh yang diminta untuk buat pemeriksaan susulan kita kena pergilah. Itu nasihat daripada doktor, kita kena ikut. Dia pakar (dalam bidang perubatan)," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Nor Azura Mohamed Zohdi di sini, sebentar tadi.

Ahmad Bashah menjelaskan bahawa rawatan susulan itu dilakukan atas arahan doktor pakar mengikut jadual yang ditetapkan dan beliau perlu mematuhi arahan tersebut bagi memastikan keadaan kesihatannya kembali pulih seperti biasa.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya tetap memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah berjalan lancar seperti yang dirancang bagi kepentingan negeri dan rakyat di negeri itu.

"Program-program kita tetap masih berjalan," jelasnya lagi.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Nahar Tajri menjelaskan bahawa Ahmad Bashah diminta doktor pakar supaya tidak terlalu aktif selepas dibenarkan keluar dari wad setelah menjalani pembedahan akibat komplikasi usus di Hospital Pulau Pinang sebelum ini. -Kedahnews.com