McDonald’s Rancang Jual Hak Francais Di Malaysia, Singapura


RANGKAIAN restoran makanan segera terkenal, McDonald’s Corp merancang mahu menjual hak francais bagi restoran-restorannya yang berada di Malaysia serta Singapura.

Dengan pelepasan hak francais yang dipegang selama 20 tahun itu, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat berkenaan bakal memperolehi AS$400 juta.

Menurut Bloomberg, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan dengan calon-calon yang sesuai bagi pasaran kedua negara itu.

Pembida yang berpotensi juga sudah mula mendapatkan wang daripada pihak bank.

“McDonald’s mengambil keputusan untuk mengamalkan model pemegang lesen bagi pasaran Malaysia dan Singapura membolehkan pelaburan yang lebih fokus kepada usaha untuk mengembangkan lagi jenama kami di pasaran-pasaran utama Asia,” kata jurucakap McDonald’s yang berpangkalan di Singapura.

Di Malaysia, McDonald mempunyai lebih 250 restoran rangkaian.

Menurut laporan Bloomberg, kebanyakan outlet McDonald’s di Asia adalah milik syarikat. –Kedahnews.com