Menang Pun Terpaksa Berdepan Kritikan

Joachim Loew
EVIAN - Joachim Loew mengekalkan rekod mengagumkan mengemudi Jerman di kejohanan antarabangsa untuk mara ke separuh akhir Euro 2016 namun berdepan kritikan di negaranya sendiri.

Jerman akan berdepan Perancis pada saingan separuh akhir di Marseille, Khamis ini ketika Die Mannschaft cuba menambah koleksi kejuaraan Euro buat kali keempat.

Sumpahan berdepan Itali akhirnya terlerai dengan kemenangan dramatik penentuan sepakan penalti 6-5 kelmarin selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa tambahan dalam aksi suku akhir dan ia kemenangan pertama Jerman ke atas musuh lamanya selepas sembilan percubaan di kejohanan utama.

Bagaimanapun, selepas Jonas Hector menyempurnakan sepakan terakhir di Bordeux yang membolehkan Jerman mengakhiri sumpahan bertemu Azzurri, masih lagi ada yang tidak berpuas hati di tanah air mereka.

Ketika Loew mengambil alih, Jerman berjaya mara ke perlawanan akhir Euro 2008, menduduki tempat ketiga Piala Dunia Afrika Selatan 2010 dan mara ke separuh akhir Euro 2012 sebelum muncul juara Piala Dunia Brazil 2014, kejuaraan utama buat kali keempat yang pertama dalam tempoh 24 tahun.

Walaupun pasukan berkenaan sedang meraikan kejayaan mara ke separuh akhir, bekas pemain antarabangsa Jerman, Mehmet Scholl tidak gembira dengan kemenangan ke atas Itali.

Scholl berkata, Loew tidak sepatutnya mengorbankan formasi asal 4-2-3-1 yang membolehkan mereka menjuarai Piala Dunia kepada 3-5-2 yang bertujuan mengatasi cabaran bahagian tengah Itali dalam aksi di Bordeux.

Bekas pemain tengah Jerman itu berkata, keputusan berkenaan menunjukkan Loew tidak mempercayai pemainnya, berbeza seperti dilakukannya di Brazil, dua tahun lalu.

Scholl mempersoalkan Loew sepatutnya mengekalkan pasukan asal menjelang aksi separuh akhir di Marseille dan begitu juga, untuk perlawanan akhir jika mereka mara di Stade de France, Ahad ini.

“Saya bukan hendak mengomel tetapi kenapa meletakkan pasukan dalam situasi seperti ini. Pada 2008 kita membuat pelbagai rombakan dan tumpas kepada Sepanyol. Pada 2010 juga sama dan sekali lagi kita membuat pelbagai perubahan pada 2012 menentang Itali dan kita tersingkir.

“Apa yang saya hendak tekankan di sini ialah pada 2014 Loew mula mempercayai pasukannya dan bermain menggunakan formasi sama sejak dari suku akhir dan begitulah jika anda hendak memenangi kejuaraan,” kata Scholl kepada ARD televisyen.

Jerman bergelut untuk memecah benteng Itali Sabtu lalu dan Mesut Ozil berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk memberi kelegaan kepada mereka.

Menambahkan lagi masalah jurulatih, tiga pemain iaitu Mario Gomez, Sami Khedira dan Bastian Schweinsteiger mengalami kecederaan, manakala pertahanan tengah, Mats Hummels digantung untuk aksi separuh akhir.

“Sasaran akan berjaya digapai secara automatik jika permainan bola sepak yang lancar diamalkan seperti sebelum ini,” kata Scholl.

Pengurus Jerman, Oliver Bierhoff berkata, kritikan Scholl itu tidak wajar.

“Ramai bekas pemain yang pakar seperti Mehmet Shcoll, suka bersembang seperti ini. Ia tidak memberi kesan kepada kami tapi sangat mengganggu. Beliau tidak tahu prosedur kami dan bagaimana keputusan dibuat. Itu sebabnya beliau menyerang keseluruhan staf kejurulatihan,” kata Bierhoff.

Loew mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki selepas Jerman bergelut untuk menggapai matlamat mereka di Bordeux. - AFP