"Mengapa Saya Ambil Anak Angkat Palestin.."

Gambar Muhammad Raed, 2.
"KAMI berkahwin dekat sembilan tahun, ALLAH hendak menguji kami, tiada cahaya mata, sepanjang perkahwinan pula isteri tidak sihat, dia (Allahyarhamah isteri, Nurul Asikin Ibrahim) menghidap kanser.

"Bila kami tiada anak, kami ada usahakan untuk mengambil anak angkat, tetapi pada masa itu agak mencabar kerana faktor kesihatan isteri, jadi saya katakan kepada isteri tidak mengapalah kita tangguh dahulu harsat itu."

Demikian luahan hati Mohamad Azarul Hakim Ibrahim, 32, ketika menceritakan titik permulaan hasratnya untuk mengambil anak angkat dari Palestin bagi menyerikan hidup dia sekeluarga.

Katanya lagi, selepas tergendala buat beberapa ketika, tanpa diduga ALLAH telah mengatur satu pertemuan antara Allahyarhamah isterinya dengan sebuah badan NGO untuk mengambil anak angkat dari bumi Gaza, Palestin.

"Kami berusaha pelbagai cara untuk dapatkan anak angkat, walaupun berdepan dengan saat sukar dek kerana masalah kesihatan arwah dan prosedur pengambilan anak angkat.  Namun saya lihat arwah tidak pernah putus asa berusaha ke arah itu. Kata arwah, kita tiada anak, kita kena lakukan sesuatu untuk saham akhirat kita setelah kita tiada nanti. Mungkin ALLAH SWT tidak kurniakan kita anak sebab Dia nak kita bantu anak-anak luar yang perlu pembelaan.

"Dan tanpa diduga arwah  isteri saya berhubung dengan sebuah NGO iaitu al-Itisam untuk mengambil anak angkat dan dia berjaya, saya hanya dimaklumkan perkara itu ketika mana saya perlu menandatangani kontrak pengambilan anak angkat tersebut, Alhamdulillah akhirnya hasrat kami dimakbulkan ALLAH," katanya kepada Sinar Online baru-baru ini.

Mohamad Azarul yang baru kehilangan isterinya pada bulan Mei yang lalu berkata, akhirnya dia berjaya mendapat seorang anak angkat Palestin yang berumur setahun (ketika diambil).

"Saya tandatangani surat perjanjian untuk menjadikan Mohamad Raed A. Rahman, 2, sebagai anak angkat selama setahun (boleh diteruskan, perjanjian akan dikemaskini setiap genap setahun), dan wang saraan untuk Mohamad Raed akan dibuat sebanyak RM600 bagi setiap tiga bulan.

"Dan setiap bulan saya akan berutus surat dan gambar dengan Mohamad Raed melalui NGO al-Itisam. Mohamad Raed merupakan anak yatim, ayahnya sudah syahid dan dia kini dijaga oleh ibunya di Palestin," katanya.

BIAR MOHAMAD RAED MEMBESAR DI PALESTIN

Mohamad Azarul berkata, memang hasrat hatinya mahu mengambil Mohamad Raed pulang untuk tinggal bersamanya, namun katanya adalah lebih baik Mohamad Raed membesar dengan suasana Palestin.

"Mohamad Raed hanya boleh diambil selepas ibunya tiada, namun bagi saya biarlah dia membesar di sana, kerana budaya di sana sangat memperkayakan amalan hidup al-Quran, saya harap dia boleh menjadi seorang hafiz nanti yang boleh mendoakan saya dan arwah isteri di akhirat nanti.

"Bagi saya juga, cukup dia mengenali siapa saya, iaitu sebagai ayah angkatnya melalui surat-surat dan kiriman gambar pada setiap bulan.

"Dan Mohamad Raed inilah peninggalan arwah kepada saya yang amat menyentuh hati saya. Insya-ALLAH saya akan sambung amanah arwah ini sehingga akhir hayat saya," katanya.

Ujarnya lagi, jika tiada sebarang aral melintang, dia akan bertemu dengan Mohamad Raed pada penghujung tahun ini.

"Insya-ALLAH, jika diizinkan-NYA saya akan ketemu Mohamad Raed pada penghujung tahun ini, buat masa ini biarlah surat dan gambarnya yang menjadi peneman rindu buat saya," katanya.

Sementara itu, Mohamad Azarul berkata, sebelum dia mengambil Mohamad Raed, dia pernah juga mencuba untuk mengambil anak angkat dari Malaysia.

"Namun dek kerana beberapa kekangan usaha itu tidak berjaya, namun apa pun Mohamad Raed adalah anugerah terindah buat saya dan arwah," katanya.

PESANAN BUAT MEREKA YANG MAHU MERINGKANKAN BEBAN SAUDARA SEISLAM


"Bagi saya kita jangan hadkan pertolongan kita, pada saya sesiapa yang berhajat untuk mengambil anak angkat kini ada salurannya, saudara kita perlu dibantu disana kerana Israel mengawal dan menyekat kehidupan rakyat Palestin.

"Mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh-NYA, amin," katanya.

Sumber: Sinar Harian