Gambar Hiasan |
ADAKALA kita tertanya-tanya kenapa kita menguap? Kebanyakan berpendapat bahawa menguap terjadi sewaktu keletihan dan rasa mengantuk.
Dalam kalangan ahli sains, mereka mempunyai banyak pendapat tentang faktor yang menyebabkan manusia menguap.
Menurut Robert Provine dari Maryland University, Amerika Syarikat, selain faktor mengantuk atau keletihan, seseorang juga menguap kerana kebosanan.
Sebahagian masyarakat menganggap menguap dengan membuka mulut lebar adalah perkara biasa.
Ajaran Islam sebaliknya tidak menganggap menguap sebagai hal yang ringan. Ini kerana menguap adalah perbuatan yang sangat buruk dan dibenci oleh Allah SWT.
Daripada Abu Said Al-Khudri RA, Rasulullah SAW dipetik bersabda yang bermaksud:
“Ada pun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila kamu menguap, hendaklah menahan sekadar termampu kerana sesungguhnya apabila seseorang menguap, syaitan akan mentertawakannya.” (Riwayat Bukhari).
Islam sangat menitikberatkan umatnya agar beradab ketika menguap terutama sewaktu solat. Seseorang itu harus menghentikan sementara bacaan surah al-Quran sehingga selesai menguap.
Selain menutup mulut dengan tangan, Islam melarang umatnya mengeluarkan bunyi “aaah” semasa menguap.
Kesimpulannya, Islam mempunyai adab menguap yang perlu diikuti mengikut hadis dan sunnah.
Sumber: Utusan