Miliki 7 Buah Kenderaan, Wanita PKR Tetap Pertahan Zuraida

Zuraida Kamaruddin
KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan Ketuanya, Zuraida Kamaruddin yang mengaku memiliki sebanyak tujuh buah kereta selepas kemewahannya itu terdedah di media sosial sebagai tidak bersalah.

Timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha mendakwa isu itu kononnya cuma `cerita kecil’ yang dihangatkan oleh bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard atas motif politik.

“Wanita PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Badrul Hisham yang terlibat dalam menyebarkan berita palsu tanpa bukti yang kukuh dan ianya adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika.

“Badrul Hisham seorang upahan yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu terus mencari helah untuk mencari publisiti murahan. Menjadi tidak wajar dan tidak professional apabila adanya stesen TV yang menyebarkan pembohongan atas nama sebuah berita,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Chegubard yang kini memimpin pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendedahkan tentang kemewahan hidup Ketua Wanita PKR dengan memiliki terlalu banyak kereta.

Zuraidah selepas beberapa hari kemudian akhirnya mengaku beliau memiliki sebanyak tujuh buah kereta pelbagai jenama yang didaftarkan dibawah namanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang bagaimanapun mendakwa enam daripada kereta berkenaan adalah untuk kegunaan ahli keluarganya dan parti PKR. –Kedahnews.com