Militan DAESH Mungkin Dapat Bahan Buat Bom Dari Negara Jiran

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
KUALA NERUS – Ancaman untuk mengadakan lebih banyak serangan di negara ini oleh puak militan Daesh, mungkin disebabkan mereka mudah mendapat bahan untuk membuat bom dari negara jiran.

Perkara ini dinyatakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada masa yang sama, beliau berkata keadaan itu agak membimbangkan kerana ia menunjukkan kemungkinan berlaku serangan pada masa akan datang.

“Sebelum ini mereka tidak ada kepakaran, tidak ada kesempatan untuk belajar membuat bom seperti kumpulan militan lain seperti Jemaah Islamiyyah dan Al Qaeda yang mendapat latihan di selatan Filipina dan Afghanistan.

“Dahulu anggota militan Daesh di Malaysia tidak mempunyai kepakaran itu tetapi berdasarkan kes terbaharu di Movida, Puchong, ia membuktikan mereka telah mendapat bahan letupan daripada negara jiran.

“Ini yang membimbangkan kerana kita kalau mereka sudah ada hubungan dengan pihak tertentu, mereka mungkin akan dapat lebih banyak bahan letupan untuk digunakan dalam serangan di Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri Seminar Ancaman Pelampau Liberalisme Terhadap Masyarakat Islam Malaysia yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Dalam kes di pusat hiburan di Puchong, Selangor itu pada 28 Jun lalu, berlaku serangan bom tangan yang pihak polis mengesahkan ia didalangi kumpulan militan Daesh.

Lapan orang dilapor cedera dalam kejadian di awal pagi itu, ketika orang ramai sedang menonton kejohanan bola sepak Euro 2016.

Ia merupakan serangan pertama kumpulan tersebut di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung kejadian serangan itu dan menegaskan tiada sesiapa yang akan terlepas dari hukuman angkara perbuatan jenayah tersebut.

“Ini bukan soal Malaysia sahaja, tapi ia berlaku di peringkat global. Tidak ada satu negara pun yang boleh mendakwa mereka bebas dari ancaman serangan Daesh.

“Apa yang boleh kita semua lakukan ialah bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani cabaran ini dengan terus membuat laporan kepada polis sekiranya ada perkara-perkara yang mencurigakan berlaku di sekeliling anda,” katanya. – BERNAMA