Militan DAESH Serang Dhaka Pernah Belajar Di Malaysia


DHAKA – Salah seorang penyerang Daesh yang melancarkan serangan maut di sebuah restoran mewah di sini yang mengorbankan 20 orang pada 2 Julai lalu dilaporkan pernah menuntut di sebuah universiti di Malaysia.

Kumpulan pemerhati pengganasan SITE menerbitkan gambar-gambar pada malam Sabtu, dengan pihak polis Bangladesh turut mendedahkan foto beberapa orang lelaki bersenjata yang terbunuh dalam serangan tersebut.

Tiga daripada militan Daesh tersebut berjaya dikenal pasti sebagai Mir Samih Mubashir, Rohan Imtiaz dan Nibras Islam, menurut laporan media Bangladesh. Nibras mendaftarkan diri di sebuah universiti swasta di Bangladesh.

Dia kemudian dipercayai menyambung pengajian di kampus Malaysia bagi Universiti Monash yang berpangkalan di Australia, malah dilaporkan pernah berkhidmat sebagai bendahari di Jabatan Khidmat Pelajar Antarabangsa.

Nibras pulang semula ke Dhaka dan meneruskan pengajiannya di sebuah institusi swasta. Menurut media Malaysia, pihak berkuasa negara itu kini sedang menyiasat sama ada Nibras pernah belajar di kampus cawangan tersebut.

Rakan-rakan sekuliah Nibras yang bercakap dengan penyiasat tempatan turut mengesahkan bahawa akaun laman Facebook dengan namanya adalah milik Nibras merujuk kepada militan Daesh berkenaan sendiri.

Video yang dimuat naik menerusi akaun itu turut menunjukkan penyanyi dan pelakon wanita India, Shraddha Kapoor pernah berjabat tangan dengan Nibras dalam satu acara yang diadakan pada tahun lalu.

Laporan Dow Jones pula menyatakan bahawa akaun Twitter yang rakan-rakan kuliahnya mendakwa adalah milik Nibras juga memberikan gambaran bagaimana dia menjadi terpengaruh dengan individu radikal secara online.

Dua lagi penyerang juga menuntut di universiti-universiti swasta di Dhaka, menurut media Bangladesh. Polis dan pegawai pemerintah sebelum ini ada mengatakan bahawa mereka datang dari keluarga mewah di Bangladesh.

Faiz Sobhan, pakar antipengganasan di Bangladesh menarik perhatian bahawa sesetengah daripada mereka belajar di sekolah antarabangsa, berdasarkan fail keenam-enam militan Daesh yang diperoleh oleh pihak polis.

“Mungkin kurang senang kehidupan peribadi mereka, atau terpengaruh dengan fahaman radikal dan memutuskan untuk menyertai kumpulan pelampau, atau mengikrarkan taat setia kepada kumpulan pengganas antarabangsa seperti Daesh dan akhirnya membuat keputusan untuk melancarkan serangan kejam ini,” kata Sobhan.

Sebelum berlakunya serangan pada Jumaat lalu, pihak berkuasa Bangladesh dengan keras menolak sebarang hubungan antara kumpulan militan Bangladesh dengan rangkaian pengganas antarabangsa.

Bangladesh sebaliknya menyalahkan JMB dan sebuah lagi kumpulan militan tempatan atas pembunuhan kejam di negara itu sepanjang dua tahun lalu.

Turut disiasat ialah sama ada para penyerang mendapat bimbingan atau arahan daripada Daesh atau Al Qaeda, menurut seorang pegawai anti-pengganas Bangladesh.

“Gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Twitter memberikan gambaran bahawa mereka mungkin terpengaruh dengan kegiatan Daesh di luar negara,” kata Muhammad Zamir, bekas pegawai kanan kementerian luar Bangladesh.

“Tetapi ini tidak menunjukkan kaitan langsung dengan Daesh. Inilah tanggapan dalam kes serangan di Orlando yang kemudian dipertikaikan,” menurut beliau lagi sambil merujuk kepada pembunuhan 49 orang dalam serangan yang dilancarkan oleh seorang lelaki yang mengikrarkan taat setianya kepada Daesh. – Agensi