Militan IS Guna WhatsApp Dagang Hamba Seks

Lamiya telah terselamat daripada letupan bom di lombong sewaktu melarikan diri daripada terus menjadi hamba seks.
AL-RAQQAH - Kumpulan militan IS didakwa memperdagangkan wanita dan kanak-kanak sebagai hamba seks menerusi aplikasi sosial WhatsApp, lapor Metro.co.uk.

Menurut laporan tersebut, sehingga kini, IS dikatakan telah memperdagangkan sehingga 3,000 mangsa.

Selain WhatsApp, kumpulan itu juga turut menggunakan aplikasi Telegram bagi memudahkan urusan jual beli.

Selain hamba seks, kumpulan tersebut turut menawarkan senjata dan gear taktikal.

Menurut laporan itu lagi, setiap hamba yang dijual akan didaftarkan bersama nama pemiliknya.

Ia bertujuan menyukarkan dan mematahkan rancangan mangsa untuk melarikan diri daripada pemilik yang membeli mereka.

Seorang mangsa hamba seks yang telah didagangkan IS, Lamiya Aji Bashar akhirnya berjaya melepaskan diri.

Menurut Lamiya, dia hanya berjaya melarikan diri setelah mencuba beberapa kali.

“Setiap hamba seks didaftarkan bersama tuan. Jika kami mahu larikan diri dan lepasi setiap sempadan atau pemeriksaan keselamatan, setiap anggota IS akan terus memburu kami sehingga kami dijumpai,” katanya.

Lamiya menganggap dirinya bertuah kerana berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki yang menemuinya.

Difahamkan, Lamiya telah terselamat daripada letupan bom di lombong sewaktu melarikan diri.

Letupan tersebut telah merosakkan separuh wajahnya dan telah menyebabkan dia hilang penglihatan.

Manakala rakannya, Almas, 8 dan Khaterine, 20 terbunuh dalam letupan tersebut.

Sumber: Sinar Harian