RAMADAN sudah berlalu meninggalkan kita. Sambutan Aidilfitri terus meriah di sana-sini. Bergembira dalam Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut Aidilfitri asalkan dilaksana dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima Islam.
Alhamdulillah, demikian nikmat hidup di Malaysia. Suasana aman dan damai membolehkan kita menyambut hari raya dengan penuh gembira dan ceria di samping keluarga tercinta.
Sayangnya, dalam kegembiraan Aidilfitri, masjid dan surau kembali sepi. Jika dalam Ramadan, setiap waktu solat masjid dan surau dipenuhi jemaah. Waktu subuh yang dulunya mencecah lima ke enam saf kini, yang tinggal berjemaah boleh dibilang dengan jari.
Sebenarnya, inilah penanda aras orang Mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak? Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? (al-Ankabuut: 2)
Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Kini selepas hari raya fitrah, syaitan kembali bergabung dengan sekutu lamanya iaitu nafsu untuk melihat sejauh mana kentalnya pertahanan yang ada dalam diri orang Islam.
Barangkali yang ‘hebat’ dalam Syawal adalah bilangan yang solat sunat Aidilfitri. Dapat dilihat di mana-mana pun, waima di kampung atau di ibu kota, bilangan yang hadir berjemaah pada Rabu, 6 Julai melimpah ruah. Namun, pada solat Jumaat dua hari kemudiannya, bilangan jemaah tidak sepadat dan sesendat solat hari raya.
Kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.
Ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.
Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiam (solat tarawih), ia sepatutnya diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Demikian juga dengan solat sunat-sunat yang lain dan juga budaya membaca al-Quran. Jangan dibiar al-Quran suci dalam debu.
Selain itu, antara amalan lain disarankan selepas Ramadan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah insan yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan sebagaimana dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.” (Riwayat Hakim).
Dalam kesempatan Aidilfitri, amalkan ziarah menziarahi dan merapatkan hubungan baik (ukhuwah) sesama Muslim. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sumber: Utusan