PENYANYI Ezad Lazim atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37, mengakui menggunakan khidmat pusat perubatan tradisional bagi merawat penyakit muntah luar biasa yang dialaminya sepanjang Ramadan lalu.
Menurut Ezad, dia juga mencuba pelbagai kaedah perubatan moden dan diberitahu oleh doktor bahawa dia mengalami masalah usus.
“Alhamdulillah kesihatan saya semakin pulih dan tidak lagi muntah-muntah sekarang ini. Cuma buat masa ini perut saya masih belum boleh menerima makanan yang pedas dan keras.
“Doktor mengesahkan saya mempunyai masalah usus akibat pengambilan ubat sinus dan ia menjadi lebih parah kerana saya tidak mendapatkan rawatan dengan segera.
“Tidak dinafikan saya juga mendapatkan rawatan tradisional kerana tidak tahu jika saya terkena perkara-perkara ghaib,” katanya yang turut hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon, di sini, semalam.
Ezad sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas muntah lebih 30 kali sehari.-Kedahnews.com