Musa Hassan Nafi Tuduh Polis Rasuah Seludup Senjata

Tan Sri Musa Hassan
KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kenyataannya mengenai kejadian kes tembak di negara ini telah disalah tafsir oleh sebuah portal berita.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Negara menegaskan, kenyataannya itu tidak merujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebuah pasukan keselamatan yang terlibat dalam amalan rasuah.

Menurutnya, beliau memang ada menyebut tentang pihak berkuasa tetapi penerangannya telah diambil di luar konteks.

“Sewaktu ditemuramah, salah seorang wartawan bertanya tentang penyeludupan senjata. Saya kemudian merujuk bahawa terdapat pihak berkuasa di sempadan bukan sahaja polis tetapi termasuk kastam, imigresen, Rela dan unit anti penyeludupan.

“Saya berkata rasuah antara punca penyeludupan mudah berlaku maka pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam aspek risikan. Tidak ada sebarang dakwaan atau apa sahaja untuk memburuk-burukkan PDRM,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Sebuah media dalam talian semalam melaporkan Musa mendakwa peningkatan kes tembak dalam negara disebabkan anggota polis rasuah menyeludup senjata dalam negara.

Laporan itu menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta Musa supaya mengemukakan bukti berlaku rasuah seperti itu.

Musa seterusnya menegaskan, beliau membuat kenyataan seperti itu dengan harapan supaya PDRM dapat menjalin kerjasama erat dengan MCCC malah turut menyebut tentang usaha pasukan polis membanteras jenayah melalui Ops Cantas Khas. –