Nak Bakar Nyamuk, Tapi "Terbakar" Isteri Sekali

Gambar Hiasan
VIENNA – Seorang lelaki Austria mungkin berjaya menepati bidalan lama terkenal masyarakat Melayu iaitu hanya kerana marahkan seekor nyamuk, habis satu kelambu hangus dibakar.

Namun bezanya kali ini dia dilaporkan secara tidak sengaja menyebabkan isterinya terbakar akibat ethanol semasa cuba melindungi keluarganya daripada nyamuk di rumah mereka, menurut polis tempatan pada 8 Julai.

“Lelaki itu dikatakan sedang membuka sebiji botol, yang mengandungi 96 peratus cecair alkohol ethanol, apabila ia tiba-tiba meletup dan tertumpah pada isterinya pula,” kata seorang jurucakap polis kepada pihak media.

“Kami yakin kebakaran tercetus akibat api daripada lilin di rumah berkenaan,” kata beliau lagi sebagai mengulas insiden aneh yang berlaku di Wernberg pada 7 Julai lalu dan dipetik agensi berita antarabangsa AFP.

Lelaki tersebut, yang berusia 54 tahun dan seorang anak mereka yang berusia 13 tahun bagaimanapun berjaya memadamkan api berkenaan dengan segera ‘memandikan’ mangsa daripada hangus terbakar.

Wanita tersebut yang berumur 44 tahun, kemudian disahkan selamat setelah dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran menerusi perkhidmatan helikopter kecemasan tempatan. – Agensi