Nenek Disamun Sekumpulan Penyamun Di Sg Petani

Rakaman CCTV, kereta Perodua Myvi yang dipercayai dinaiki oleh suspek. (Foto Ihsan: Skuad Sungai Petani)
SUNGAI PETANI - Seorang nenek berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan penjenayah di rumahnya di Taman Bandar Seri Astana, di sini, kelmarin.

Difahamkan, maklumat dan gambar berkenaan kejadian turut dimuat naik di media sosial.

Mengikut maklumat, kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari dan mangsa difahamkan mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila rantai mutiara, televisyen LED dan alatan pertukangan besi dilarikan suspek.

Mengikut sumber, tiga hingga empat lelaki tempatan yang menaiki kereta Perodua Myvi berwarna oren datang ke rumah mangsa sebelum menggeledah dan melarikan barangan berkenaan.

Difahamkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta yang dinaiki suspek melakukan rondaan beberapa kali sebelum bertindak masuk ke rumah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan kejadian itu dan berkata, masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa.

Sumber: Sinar Harian