Nga Kor Ming Disiasat Di Bawah Akta Hasutan

Anggota Parlimen (DAP) Taiping, Nga Kor Ming
PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan ke atas Anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana menghina sambutan Aidilfitri dalam akaun Facebook miliknya, Selasa lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menerima beberapa laporan polis terhadap entri Facebook Nga.

“Kita sudah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.

“Kita juga akan menyiasat sama ada entri tersebut Nga yang buat atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria di sini semalam.

Pada Selasa lalu, Nga memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.

Khalid juga menyarankan orang ramai agar berhati-hati apabila membuat kenyataan atau memuat naik status sensitif di laman sosial.

“Tindakan Nga merupakan satu tindakan yang mempermainkan agama Islam dan ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang yang bergelar Yang Berhormat di sebuah negara majmuk,” katanya. – BERNAMA